04 Mac 2010

Fitrah Lebah

Bergerak dari sekuntum bunga
kepada kuntuman yang lain
Hingga sampai waktu
Ia hanya ingat lari.
Tubuh bergerak sendiri, tak melihat
laman siapa yang ia pijak
semua mawar sama merah
semua ia yang melukakan.

28 Februari 2010

Katakan

Katakan
katakan cinta
kepada kanda
hambamu dinda

Katakan
katakan hanya
hanyalah kanda
di hatimu dinda

Hanya tinta
yang menjadi saksi
seksa cinta
di batinku ini

Katakan dinda
katakan cinta
katakan hanya
kepadaku saja

25 Februari 2010

Xenofobik

Seperti ada permusuhan antara kita,
Gerak tubuhmu tak pernah mesra
Adakah kerana sesuatu yang berlalu
Atau sesuatu yang bakal datang?

Aku merenung lehermu yang kaku,
Kau duduk setiap pagi di bangku itu
Tanpa menoleh membisik namamu,
Aku hanya meneka-neka di belakang

Kiranya curiga yang memisahkan kita
Dari tempatku betapa aku mahu
Menyelak tirai rambutmu yang panjang,
Melihat senyum yang belum kau lemparkan

24 Februari 2010

Perkahwinan

Kehidupan yang kita bina
daripada timbunan maruah yang calar
Bagai menara masjid condong ke tanah
Tak siapa berani melepaskan runtuh
Biar sudah banyak kali bergegar
Mungkin sudah ditakdirkan tuhan
Beratur bencana mengikut langkah kita
Menyeberang bentang masa yang mencerai
Kelahiran dengan kematian sesuatu hubungan
Tapi apa yang kita tahu tentang ketentuan?
Kerana kita lebih kerap berhadapan pilihan
Yang selalu lebih sukar dalam perkahwinan.